Tuesday, March 11, 2008

sejarah tulisan

Tulisan ialah sejenis tanda atau “sign” yang mewakili sesuatu yang lain, iaitu yang merupakan maknanya. Secara umum tanda terdiri daripada tiga jenis seperti yang diutarakan oleh John Lyons (ibid.), iaitu “symbol” (lambang), “icons” dan “indices”. Tulisan merupakan lambang berbentuk coretan atau loretan kepada bahasa. Dalam penciptaan sistem tulisan, kata tulis itu sendiri bermaksud kerja menoreh, mengukir dan kerja melukis, mewarnai, meloret dengan cat atau dakwat.
Tulisan yang digunakan pada permulaan ialah gambar lukisan atau torehan merupakan pelahiran secara tampak fikiran dan perasaan manusia untuk disampaikan kepada orang lain dan bentuk demikian tidak terikat dengan bahasa. Sistem tulisan ini dikenali sebagai “idea writing”. Kemudian wujud pula sistem tulisan baru yang dikenali sebagai “ideograms”. Contoh yang paling masyhur ialah sistem tulisan hieroglif Mesir yang lebih kurang 3000 tahun sebelum Masihi.
Tulisan piktogram dipakai di kalangan orang-orang Indian Amerika, orang Yukagir di Siberia dan juga dapat ditemukan di pulau Paska (Pasifik Timur). Pada suatu saat, piktogram tidak hanya menunjukkan gambar benda yang, dimaksud melainkan juga sifat-sifat benda itu atau konsep-konsep yang berhubungan dengan benda itu; misalnya dalam tulisan hieroglif di Mesir (dipakai sekitar 4000 tahun S.M).
Perkembangan selanjutnya ialah terciptanya “phonetic word script” dalam bahasa Mesir. Sistem tulisan ini menggunakan kaedah perlambangan perkataan. Misalnya “belief” dalam bahasa Inggeris, dilambangkan dengan gambar “bee” dan “leaf”.
Seterusnya tulisan semakin berkembang dengan kemunculan “alphabetic script” iaitu satu gambar yang melambangkan bunyi pertama bagi benda yang dilambangkannya. Melalui tulisan ini huruf-huruf Mesir mempunyai 24 abjad, iaitu semuanya konsonan. System tulisan ini dianggap kudus atau “scared”. System ini telah digunakan pada 3000 S.M hingga 500 S.M dan mengandungi 604 simbol yang boleh berdiri sendiri.
Orang Mesir juga mula mempunyai sistem tulisan yang menggambarkan suku kata. Orang Mesir turut menggunakan tulisan Silabis. Tulisan Silabis ini mempengaruhi sistem tulisan bangsa-bangsa lain termasuk bangsa Fenesia yang hidup di Pantai Timur Laut Tengah (sekarang disebut Libanon). Pada sekitar tahun 1500 S.M. tulisan Fenesia membuat 22 suku kata. Dalam sistem ini setiap tanda melambangkan satu konsonan diikuti oleh satu vokal.
Dalam tahun ke-10 S.M. tulisan Silabis orang Fenesia itu dipinjam oleh orang Yunani. Namun ,kerana bahasanya berlainan sifat Silabisnya akhirnya ditinggalkan dan Orang Yunani mengembangkan tulisan yang bersifat Alfabetis, iaitu dengan mengambarkan setiap konsonan dan vokal dengan satu huruf. Tulisan Yunani ini kemudian diambil alih oleh orang Romawi dan dalam abad-abad pertama Masihi tulisan Romawi atau Latin ini menyebar ke seluruh dunia dan sampai ke Kepulauan Melayu sekitar abad ke-16 bersamaan dengan penyebaran agama Kristian. Tulisan Romawi ini sampai sekarang masih dipakai.

1 comment:

MSB said...

thnx untuk info ni.sangat bergune untuk asgment aku beb..thnx again.